(Saya tengok, banyak tulisan mengenai haji yang di tulis oleh penulis lelaki, jadi banyak yang dari kacamata seorang lelaki. Jadi saya nak tulis yang ni dari kacamata saya. Untuk tulisan ini, kami ingin menceritakan pengalaman kami mengerjakan haji 2018. Kami juga insyaAllah menitipkan tips dan nasihat yang harapannya boleh berguna kepada bakal haji)
Seminggu sebelum haji
Saya pernah menulis tentang pengalaman haji Badrul pada tahun 2011 dahulu tetapi saya tidak dapat mengikut dia pada waktu tersebut. Alhamdulillah, tahun ini saya diberikan peluang oleh Allah untuk menjadi tetamuNya. Saya telah 2 kali mengerjakan umrah sebelum ini tetapi ini merupakan kali pertama haji untuk saya. Kami berdua sahaja kali ini, anak-anak akan menjaga diri mereka sesama sendiri.
“Don’t worry Bubu,” kata Adam, “I’m big and responsible enough..”
Kami merasakan ini juga merupakan waktu yang bagus untuk mereka adik beradik menjadi rapat sebelum Adam masuk ke universiti. Biarlah Adam sahaja yang menjaga adik-adiknya.
Sebelum meninggalkan mereka, pelbagai latihan telah diberi, cara masak, kemas rumah.. Gunung dan lembah juga telah dipanjat dan lalui sebagai latihan fizikal kepada kami.
Seperti yang saya pernah tulis dahulu, saya merasakan melakukan ibadah dengan khusyu’ itu amat penting kerana tanpanya, segala perbuatan akan menjadi hambar. Saya telah mencuba sedaya upaya untuk mendapat khusyu’ dengan cara tak banyak cakap (percayalah.. saya ni mulut mak nenek dan banyak masalah timbul bila saya banyak bukak mulut), tapi saya berkata kepada Badrul,
“risaulah.. kita nak pergi haji, tapi kenapa hati saya rasa kosong?”
Kursus haji banyak diberikan oleh masjid-masjid tempatan di sini secara percuma. Dan kebanyakan kursus haji hanyalah mengambil masa beberapa jam sahaja. Masjid di sini kebanyakannya mengambil cara menunaikan haji mengikut cara paling dekat dengan sunnah jadi tak panjang ceritanya.
Hari yang dinantikan tiba. Sedih meninggalkan anak-anak. Kami telah menyediakan untuk mereka sekiranya (nau’uzubillah) kami tidak kembali. Wasiat dan documents semua telah ditinggalkan, dan ini merupakan antara pesanan Sheikh kami.
Sebelum saya sambung, izinkan saya menulis sedikit mengenai ibadah haji..
Sedikit mengenai ibadah dalam haji
Pengajaran dari kisah Ibrahim as
Haji merupakan ibadah yang berkisar kepada mujahadah diri sendiri dan kekeluargaan. Tentang bagaimana ujian terhadap nabi Ibrahim dan keluarga baginda.
Untuk diri beliau sendiri, tentang pencarian beliau tentang Tuhan. Bagaimana pada usia muda, baginda merasa hairan dengan masyarakat keliling yang memahat dan kemudiannya menyembah sendiri berhala yang mereka pahat. Apabila datang malam, beliau melihat bintang dan menyangkanya Tuhan, lalu apabila datang bulan yang lebih terang, beliau mengubah fikirannya kepada bulan. Apabila datang siang, hilang bulan lalu terbit matahari beliau merasakan ia Tuhan sehinggalah tenggelam matahari dan datangnya malam. Begitu terang hati baginda memikirkan tentang filisofi ketuhanan, Tuhan adalah yang sesuatu yang berkuasa atas segalanya, dan tidak akan bertukar atau hilang dan tenggelam[1]. Dan bagaimana dengan keyakinan tersebut, baginda bertindak berani merobohkan berhala-berhala yang disembah manusia sehingga beliau di uji dengan ketaatan beliau kepada ayahanda beliau sendiri sehinggalah ujian dengan Raja Namrud dan masyarakat yang sangat berlainan dengan kepercayaan baginda, tetapi beliau tetap teguh dalam pendirian[2].
Baginda kemudian diusir dan diancam bunuh oleh ayah beliau[3], sehingga beliau terpaksa menetap di tempat asing. Kemudian beliau menghadapi cubaan dengan isteri. Tentang bagaimana ketiadaan anak degan Sarah membuatkan baginda mengahwini Hajar. Setelah dengan kepayahan mendapat anak tersebut, ujian dengan keluarga yang perlu ditinggalkan di padang gersang, tidak punya apa-apa. Kemudian tentang ujian penyembelihan anak[4]dan akhir sekali mendirikan rumah ibadah[5]dan perintah memanggil seluruh manusia sepelusuk dunia ke tempat yang entah dimana yang tiada apa-apa. Seluruhnya ditunaikan demi rasa kehambaan kepada Allah.
Melihat maqamu Ibrahim (bekas tempat Nabi Ibrahim berpijak semasa membina ka’abah), dan Hijr Ismail-atau Hateem (kesan sebahagian dari ka’abah yang dibina nabi Ibrahim sebagai tempat perlindungan untuk Ismail dan Hajar) perlu mengingatkan kita tentang sejarah pembinaannya, tentang hubungan ayah dan anak. Dan bagaimana manasik haji yang lainnya, tawaf dan juga Sa’ie, tidak lupa juga dengan air yang diberkati, air zam-zam. Ini semualah yang perlu kita ingat ketika mengerjakan ibadah haji.
Segala-galanya tentang haji, adalah tentang ketauhidan, tentang kekeluargaan, dan tentang kemanusiaan. Perkara-perkara inilah yang perlu difikir dan direnung dalam-dalam dan menjadi punca kehadiran khusyu’.
Tawaf
Berasal dari perkataan ‘Tafaa’ yang membawa maksud ‘berjalanan mengelilingi’. Dalam ibadah tawaf, kita mengelilingi ka’abah sebanyak tujuh kali mengkiut peraturan-peraturannya (boleh rujuk kitab haji).
Perbuatan mengelilingi ka’abah diseumpamakan malaikat-malaikat yang mengelilingi Baitul Makmur[6]. Juga serupa seperti planet-planet mengelilingi matahari[7], begitu juga dengan segala sistem bima-sakti yang mempunyai orbit sendiri sehinggalah sekecil-kecil contoh seperti electron berputar mengelilingi nucleus. Segala-galanya dalam hidup kita.
Saya perasan ada sesetengah orang yang sibuk bermain atau bercakap di talifon semasa tawaf. Connection kena dengan Allah bukan dengan talifon. Kena ‘disconnect’ untuk ‘connection dengan Allah’. Tawaf merupakan salah satu ibadah yang serius juga, serupa seperti solat sebab kita mesti sentiasa dalam keadaan suci dan berwudhu’ semasa tawaf. Semasa tawaf, kita berdoa kepada Allah, memuji-mujiNya gerakan kita sentiasa dengan keadaan bahu kiri sentiasa bertentangan dengan ka’abah, melambangkan kita sentiasa membuatkan Allah menjadi ‘centre of our attention’, kita sentiasa menjadikan Allah sebagai paksi yang kita putarkan hidup kita sekelilingnya. Yakni kita merubah cara hidup kita untuk Allah, bukan buat Allah yang ‘menyesuaikan’ agama mengikut nafsu kita.
Sa’ie
Sa’ie antara Safa dan Marwa. Sa’ie membawa makna mencari. Safa bermaksud suci, dan Marwa pula bermaksud penghormatan diri. Perbuatan sa’ie, mencari antara Safa dan Marwa, selain daripada mengikut jejak langkah keterdesakan Hajar mencari air, membawa pengertian keterdesakan kita mencari petunjuk Allah dalam hidup kita. Dalam masa yang sama kita ingin menyucikan diri kita dan sentiasa mencari jalan untuk mencapai penghormatan diri. Sebagaimana Hajar tidak putus asa dan yakin dengan janji Allah, walaupun di tengah padang pasir kering kontang, begitulah juga kita dalam masalah kehidupan kita, sentiasa berusaha dan yakin dengan pertolongan Allah.
Untuk kesemua ibadah, terutamanya Tawaf dan Sa’ie, sheikh kami berpesan supaya seeloknya menghafal serta memahami doa dan yang paling penting berdoa dari hati (bukan melihat buku). Semasa kita berdoa, kita meminta dengan Allah, mintalah direct dari hati kita, dan bukan hanya sekadar menjadi burung kakak tua, mulut membaca tetapi bukan dari hati yang paling dalam. Ada juga jemaah yang asyik tunduk melihat buku, sehingga terlanggar ahli jemaah lain.
..bersambung..
(nanti saya letak gambar2 yang kami ambik)
[1]Quran, surah al-An’am: 76-79
[2]Quran, surah as-Shu’ara: 69-89
[4]Quran, surah as-Saffat: 102-105
[5]Quran, surah al-Baqarah: 127-129
[7]Quran, surah al-Anbiya’: 33